每日一名言

现在是




Google

2010年5月16日星期日

Sukan payung kumpul, menyatukan rakyat

Sukan payung kumpul, menyatukan rakyat
Oleh Zainul Arifin

2010/05/16


Menang, kalah beri hasil lumayan - gema suara 1Malaysia



KITA sedari apabila Wong Choong Hann melangkah ke tengah Stadium Putra, kelmarin, tugas yang dihadapinya amatlah berat. China ketika itu mendahului 2-0, dan di bahu pemain veteran itulah diletakkan harapan negara untuk mara pada Pertandingan Piala Thomas.


Dia, dan seluruh negara, rasanya, sedar betapa mencabarnya tugas di hadapan. Mereka yang tidak henti menyorak dan memberi semangat di stadium, serta jutaan di rumah, juga tahu apa yang akan dihadapi Choon Hann. China, yang diketahui Lin Dan yang penuh keyakinan, adalah terlalu kuat untuk kita. Pemainnya perlu betul-betul tidak menjadi, barulah kita ada harapan untuk menewaskan pasukan itu.



Namun permainan berakhir mengikut jalan cerita yang dijangka, dan bukannya kejutan ala cerita dongeng pada 1992 apabila Piala Thomas jatuh ke tangan kita.



Bagaimanapun saya tidak terlalu kecewa dengan keputusan kelmarin itu. Tiada malunya jika kita antara empat negara utama badminton dunia. Ia adalah kejohanan dunia dan cabaran tentulah hebat. Tiada sebab kita tidak boleh berbangga dengan anak-anak muda kita itu.



Banyak yang pergi ke Stadium Putra itu tahu betapa sukarnya bagi pasukan kita untuk menang, namun mereka pergi dengan sepanduk dan bendera, serta suara yang hilang di akhir perlawanan. Adakah mereka terlalu mengharap atau tidak tahu menilai lawan?



Seperti juga ribuan yang akan ke Afrika Selatan menyokong pasukan negara mereka yang kebanyakannya tidak akan melepasi pusingan pertama, kita ke stadium selain memberi semangat adalah untuk meraikan pasukan kita.





Memang kemenangan dicari, tetapi itu bukannya saja tujuan kita apabila memberi sokongan. Kita menyokong kerana berterima kasih kerana ada orang yang sanggup berjuang untuk kita, tidak kira betapa sukarnya tugasan yang diberi. Kita bangga dengan usaha mereka. Kita mempunyai pelaburan emosi dengan pasukan kita. Ada satu lagi faktor emosi untuk bersorak, iaitu semangat patriotisme.



Pemain negara kita mewakili kita, jika mereka berjaya, bukan saja kita tumpang gembira tetapi kita juga juara.



Sebenarnya bukanlah pingat dan piala yang menjadikan negara disegani, tetapi cita-citanya yang tinggi. Cita-cita ingin menjadi juara dunia akan membuatkan kita bekerja keras, dan sekiranya kita tidak berjaya sekalipun, usaha kita sudah tentu menjadikan kita lebih baik.



Kita semua sedar bahawa minat terhadap sukan semakin berkurangan di negara ini. Rakyat kita bukan gemar bersukan, terutama pada akhir-akhir ini. Ada yang hanya minat menonton sukan dan tidak pernah peluh setitik pun bersukan. Kita banyak disajikan persembahan terbaik di televisyen, oleh itu kita tidak berapa bersemangat mengikuti pasukan dan atlit kita yang jelasnya bukan juara dunia, kecuali seperti Nicol David.



Tetapi jika kita sebuah negara yang bersemangat menghayati sukan, atau ‘sporting nation,’ maka kita bukan saja boleh menilai mutu, tetapi juga usaha dan pengorbanan. Sokongan kita bukan dibeli oleh keputusan yang baik saja, tetapi kita juga akan menyanjung mereka yang bekerja keras untuk menjadi yang terbaik.



Kini sukan bukanlah menjadi satu keutamaan di sekolah. Ada sekolah yang sudah bertahun tiada hari sukan. Inisiatif kerajaan untuk mencapai satu murid satu sukan adalah baik, tetapi ia adalah arahan dan bukannya galakan. Bilakah kali terakhir sekolah yang menghasilkan ahli sukan disanjung? Namun kita kerap menamakan sekolah yang penuntutnya dapat A yang banyak. Kononnya kepemimpinan sekolah akan lebih cepat naik pangkat jika keputusan akademik baik.



Kalangan ibu bapa juga banyak yang tidak berapa suka jika anak mereka bersukan, malah ada juga tidak mahu kokurikulum kerana kononnya mengganggu peluang anak mereka mendapat A yang banyak. Oleh itu tidak hairanlah jika kita tidak dapat ramai atlit kerana saluran sudah dikecilkan.



Jelas kita adalah sebuah negara yang tidak memberi tumpuan tinggi kepada sukan. Walaupun kita ada anggota Kabinet untuk meneliti isu sukan, rakyat kita kurang berminat. Namun pulangan sukan adalah lumayan, melebihi pingat dan gelaran yang boleh diperoleh.



Jika dilihat muka-muka yang bersorak dan bertempik di Stadium Putra, kelmarin, jelas mereka adalah muka-muka 1Malaysia. Jika kita lihat pasukan Piala Thomas dan Uber, jelas muka-muka 1Malaysia. Suara yang menggegarkan stadium menyambut pukulan smash Datuk Lee Chong Wei atau yang meraung kecewa apabila beregu kita menghantar bulu tangkis ke jaring, juga adalah suara 1Malaysia.



Tiada nampak beza bangsa, agama dan politik apabila membawa sepanduk dan mengibarkan bendera. Sungguh baik apabila kita berupaya melupakan perbezaan apabila mendepani tujuan yang sama.



Jika politik mahu kita berpisah dan bertelingkah, sukan adalah satu payung yang mana kita boleh berkumpul dan bersatu, walaupun ketika keputusan tidak menyebelahi kita.

没有评论: